Monday, December 24, 2012

Corat Coret Artis Malaysia

Lama menyepi daripada blog tidak bermakna berhenti ber"blog" ni, cuma "berehat" menguruskan kerja-kerja hakiki. Walau apapun terima kasih kepada pengunjung blog dan rakan-rakan yang menyokong blog ini. Hari ini terpanggil untuk berkongsi sesuatu dan ianya hanya pandangan dan merupakan pandangan aku semata-mata.

Isu masalah artis di Malaysia memang tidak pernah habis. Perkara ini juga yang menghiasi banyak muka majalah dan surat khabar. Daripada gosip, cerita-serita panas, skandal ke hulur dan ke hilir, kebajikan dan macam-macam lagi. Kadang kala isu yang lebih penting tenggelam dek kerana cerita-cerita mereka.  

Bagi aku cerita mereka tak lah penting sangat. Cuma cerita-cerita mereka buat laris buku dan siaran televisyen je... Kalau rasa nak "top" buat lah isu sikit.

Apa yang menariknya, persatuan artis-artis Malaysia seperti seniman dan berbagai lagi sibuk memperjuangkan hak artis Malaysia dan lebih tepat lagi isu kebajikan artis Malaysia. Macam-macam mereka nak buat. Pencen la, bantuan tu la, bantuan ni la senang cerita semuanya untuk membantu golongan artis-artis ni. Cuma yang tidak sedapnya semuanya nak dibawa ke kerajaan dan digembar-gemburkan seperti sesuatu isu yang hangat dan perlu mendapat keutamaan kerajaan. 

Jika difikirkan balik, artis telah mendapat populariti, perhatian media dan perhatian masyarakat bagi yang menggilai mereka. Semua itu tidak akan bertahan lama. Siapa yang dibuai mimpi pasti hanyut ditelan zaman, siapa yang menggunakan akal dan fikiran pasti merasa nikmat di penghujung karier. Mereka telah memiliki segala-galanya ketika di kemuncak karier. Namun apa yang terjadi selepas tidak diterima masyarakat?

Aku sebenarnya risau dengan kebanjiran artis-artis muda yang mengecap populariti selepas sekolah atau yang lebih risau lagi dengan artis yang telah terjebak ke dunia hiburan ketika masih kecil. Cuma bersandarkan rupa dan sedikit bakat bolehlah terjun ke dunia hiburan. Dalam setahun berpuluh-puluh orang menjadi artis dan beribu-ribu orang berbaris panjang nak jadi artis. Semuanya tidak salah kerana umat akhir zaman memang pentingkan hiburan.

Cuma yang tidak patutnya apabila masyarakat dah tidak boleh terima dan mula dilupakan barulah sibuk "menyalak" mohon bantuan sana sini. Dulu masa popular tidak ingat saat akan susah. Minta pula kerajaan bantu. Kesian pada mereka yang betul-betul miskin yang tidak pernah merasa kemewahan seperti artis Malaysia. Bila dah masuk program Bersamamu barulah kesusahan mereka mendapat perhatian. Boleh dikira jadi artis juga ke?

Apa yang Zed Zaidi buat memang betul kerana dia adalah "Presiden" yang memperjuangkan hak artis Malaysia tetapi lebih bagus sekiranya mereka buat program pengurusan kewangan untuk artis Malaysia ke atau pengurusan kehidupan menjadi artis, biar artis baru yang sedang meningkat naik ni sedar kemuncak kejayaan yang dikecapi tidak akan kekal lama. Biar mereka bersedia daripada awal. Tidaklah jadi seperti artis veteran yang hidup bagai merempat di bumi sendiri. 

Bagi aku, mereka patut sedar masyarakat perlukan bakat tidak kira daripada negara mana pun mereka dan bukan rupa menjadi ukuran. Tingkatkan "kualiti" mampu menjamin bertahan lama dalam industri hiburan. Penuhkan ilmu hidup supaya tidak sesat di penghujung jalan. Fikirkan bahawa lebih ramai rakyat yang tidak pernah "disanjung" diluar sana dan bersyukurlah atas nikmat sementara yang diberikan. Ketika dipuncak kejayaan fikirkan masa hadapan, ketika susah fikirkan bahawa mereka bukan lagi "Hero & Heroin" yang diperlukan.

No comments:

Post a Comment