Thursday, December 27, 2012

Musibah banjir dan tsunami di Kuantan

Musibah banjir dan tsunami di Kuantan
Di saat ini, ramai rakan-rakan kita di pantai timur terutamanya sedang mengalami musibah banjir yang dasyat. Banyak kawasan yang tidak pernah dinaiki air ditenggelami air sehingga sedalam 2 meter. Bencana yang sering dikaitkan pada penghujung tahun 2012 dan dijangga berakhir pada bulan Mac benar-benar menduga ketabahan penduduk di kawasan bencana.

Fenomena banjir kilat yang meragut nyawa memang sudah biasa kita alami di Malaysia. Atas desakan mencari rezeki, ramai juga penduduk yang ingin mengaut keuntungan mudah tanpa memikirkan soal keselamatan apatah lagi melibatkan nyawa anak-anak kecil dan isteri. Namun itu semua ketentuan Allah SWT yang Maha Mengetahui. Hanya Dia yang berhak melakukannya dan sebab musababnya.

Suasana di kawasan banjir amat teruk dan boleh diandaikan tsunami yang melanda. Namun tsunami yang melanda pada kali ini bukan berpunca daripada ombak kuat yang menghempas pantai. Tetapi berpunca daripada hujan lebat berterusan yang membawa kepada peningkatan paras air sungai yang mendadak.

Tsunami yang melanda pantai dan "tsunami bah" tidak banyak bezanya. Kedua-duanya disebabkan oleh air. Jika tsunami boleh menyebabkan kemusnahan yang sangat teruk akibat kesan arus deras yang menuju ke pantai, banjir juga sama. Banyak kerosakan harta benda yang berlaku sekiranya mangsa tidak sempat membuat persediaan rapi.

Tidak banyak bencana yang buruk berlaku di negara ini jika hendak dibandingkan apa yang berlaku di negara luar seperti Jepun. Gempa bumi, tsunami dan sebagainya. Kita hanya diuji dengan banjir. Adakah ini menunjukkan bahawa Dia ingin memperlihatkan kekuasaan Nya atau pun balasan kepada apa yang telah kita lakukan. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Musibah banjir juga melumpuhkan banyak sektor di negara ini. Ekonomi, Perlancongan, Perladangan, Perindustrian dan banyak lagi. Kekuatan ekonomi yang kukuh di negara ini memungkinkan bantuan yang diperlukan oleh mangsa banjir mampu diberikan dengan segera. Keadaan menyedihkan di pusat pemindahan sementara mampu diceriakan lagi dengan bantuan yang tiba. Indahnya berada di bumi Malaysia ini.

Pada masa ini usah menuding jari menyalahkan sistem perparitan atau pembentungan yang tersumbat malahan juga melemparkan tuduhan infrastruktur yang gagal adalah tidak perlu. Semua ini tidak diduga dan ianya hanya bencana. Bencana bukan buatan manusia tetapi kekuasaan Tuhan yang Maha Mencipta. 

Saya secara peribadi menyifatkan bencana ini mampu mengeratkan hubungan perpaduan di negara ini, mengenali sesama sendiri, mengembalikan semangat bergotong-royong serta meningkat belas ihsan masyarakat di negara. Usah meletak sepenuh tanggungjawab kepada kerajaan atau pemimpin terpilih. Penyaluran bantuan yang sepatutnya diberikan oleh golongan kaya-raya di negara ini amatlah diperlukan. Namun jarang-jarang kita lihat "mereka" ini turun ke "gelanggang" dan bertindak hanya memerhati dan mendengar. 

Kita bersimpati atas musibah banjir ala tsunami yang melanda di negara ini, semoga mereka tabah menghadapi kesusahan dan semoga mereka berjaya mengharunginya. Anggaplah ianya ujian kepada hamba-hamba Nya.

No comments:

Post a Comment