Isnin, Januari 21, 2013

6 syarat mencari bini muda

Syarat tambah isteri, cara tambah biniPernah dengar orang kahwin 2? 3? atau 4? Mesti pernah dengar kan. Walaupun bukan kebiasaan dan kadang-kadang berlaku, saya juga terkena tempiasnya walaupun jauh sekali untuk mendapatkannya. Bila kita keluar outstation pasti ada cakap-cakap yang menuduh kita ada bini muda atau panggilan lebih manis adalah isteri muda.

Kenapa lelaki mahu bini muda? Perlu sangat ke bini muda untuk francais kan keluarga anda? Terpulang kepada kehendak individu masing-masing.

Namun perlu diketahui apakah syarat-syarat untuk mencari bini muda yang perlu diketahui oleh lelaki sebelum berhajat memenuhi kuotanya. Syarat-syarat ini perlu dipatuhi untuk kebahagiaan rumahtangga pada masa akan datang.

Pertamanya adalah mampu. Syarat yang paling penting untuk lelaki sebelum menambahkan bilangan isterinya. Apakah sekadar mampu secara batin sahaja? Tidak! Pastikan lelaki mempunyai pendapatan yang berlipat ganda sebelum memikirkan mahu mencari isteri baru. Usah mengharapkan belasan ihsan isteri dan bakal isteri anda untuk membantu kewangan anda.

Keduanya perlu adil. Perkara paling susah bagi lelaki yang sedang berpoligami. Hari Isnin (bini no 1), Hari Selasa (bini no 2), Hari Rabu (bini no 1), Hari Khamis (bini no 2). Kebetulan, bini no 2 datang bulan pula pada hari khamis. Jangan cuba berlaku tidak adil dengan menggadaikan hak giliran bini no 2.

Ketiganya, penuhi tuntutan isteri pertama. Pernah dengar dialog "Abang, kalau abang nak kahwin lagi saya mahu rumah banglo sebiji dan sebuah kereta". Jika yang satu permintaan ini pun membuat anda tergaru-garu kepala, baik lupakan sahaja untuk mencari bini muda. Maknanya anda masih belum layak.

Keempat, telah menyediakan keperluan seharian secukupnya. Bila ada 2 bini maka ada 2 tempat yang perutnya perlu diisi. Jika perbelanjaan bini pertama RM1000 sebulan, bini ke 2 pun begitu juga. Jika berlainan pastinya anda tidak berlaku adil terhadap isteri-isteri anda.

Kelima pula, perlu mendapat restu. Restu dan tandatangan isteri pertama adalah wajib. Jika anda mahukan keluarga yang bahagia, langkah ini tidak boleh dipinggirkan kerana ianya akan mendatangkan masalah dendam, permusuhan dalam keluarga kamu. Kadangkala berlarutan sehingga ke anak cucu. Jadi jangan menambah beban yang ada hanya disebabkan nafsu.

Dan yang terakhir, hormati hak isteri pertama. Jika sudah ada bini muda, bini pertama jangan dilupakan. Hak isteri pertama adalah keutamaan kerana merekalah yang menerima anda seadanya. Jika mereka tidak menerima kamu seadanya tidak lah anda berkahwin sehingga sekarang. 

6 syarat mencari bini muda di atas nampak mudah tetapi berat memikulnya. Jika anda belum benar-benar bersedia fokuslah kepada isteri pertama anda kerana merekalah bidadari kamu di syurga.