Friday, January 4, 2013

Suami suka bila isteri...

http://bilalelakiberbicara.blogspot.com/2013/01/suami-suka-bila-isteri.html
Mungkin para isteri pernah bertanya "Macamana nak buat suami lebih sayang pada aku?" atau ada juga yang berfikir "Adakah apa yang aku buat cukup membahagiakan suami aku?" atau seumpamanya. Lelaki kadangkala sukar diduga dan kadangkala juga kita susah memahaminya. Namun setelah kita dipilih menjadi isterinya, ketahuilah bahawa kita adalah pilihan terbaik suami. Kita perlu berusaha untuk "membahagiakannya" lagi selain daripada memenuhi tuntutan batinnnya.

Di awal usia perkahwinan, permintaan memenuhi tuntutan batin suami mungkin menjadi keutamaannya, lama-lama ianya tidak menjadi terlalu penting bagi suami. Perkara-perkara lain yang boleh kita buat untuk membuatkan suami tersenyum setiap hari juga amat berguna buat para isteri mengetahuinya. Apa yang diinginkan oleh suami?

Beberapa perkara yang suami suka bila isteri melakukan untuknya adalah tips kehidupan dan kekeluargaan yang ingin dikongsikan kepada pembaca. Mungkin tidak 100% sama bagi setiap lelaki tetapi ianya boleh dijadikan idea untuk para isteri memuaskan hati suami.

Suami suka bila isteri mereka >>>
  1. Menjaga maruahnya - Sikap dan perangai buruk suami kadangkala tidak suka untuk dikongsi kepada orang luar. Kadangkala kita terlepas cakap atau mengadu namun perkara itu boleh dimanipulasikan oleh orang lain untuk menjadikan rumah tangga kita terumbang ambing. Contohnya bila suami suka kentut. Nampak macam lucu tetapi bila diusik berlebihan, si suami juga akan panas telinga.
  2. Menyediakan keperluannya - Si suami amat suka bila penyediaan keperluannya dimudahkan oleh isteri. Walaupun tidak diminta, sikap proaktif si isteri membuatkan si suami menjadi lebih terurus dan perkara-perkara remeh telah disempurnakan oleh isteri. Contohnya menggosokkan pakaiannya. Bila suami dalam keadaan tergesa-gesa, si isteri perlu membantu si suami memudahkan urusannya.
  3. Hormat keputusannya - Dalam rumahtangga pasti berlakunya diskusi tidak rasmi mengenai hala tuju keluarga sehinggakan ada yang berakhir dengan tragedi. Walau apapun si isteri perlu menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh suami. Jika keputusannya salah, maka biarkan ianya belajar daripada kesilapannya dan jangan membuatnya tertekan dengan keadaan tersebut. Berikan sokongan dan galakkan mereka mendengar pandangan anda.
  4. Menyediakan makan dan minumnya - Jika anda tidak pandai masak sekali pun, sekurang-kurang sediakan segelas minuman untuk si suami. Pastinya dia memahami. Jangan mengharapkan si suami membuat air minumannya sendiri sedangkan dirinya mempunyai "pembantu" hidupnya.
  5. Berdikari - Kebanyakkan suami suka bila isteri mereka pandai berdikari. Berdikari di sini bukan meliputi semua aspek tetapi tentang pengurusan rumahtangga. Contohnya keperluan dapur. Isteri yang bijak akan menguruskan rumahtangga dengan baik. Oleh itu kadangkala si isteri digelar "Menteri Kewangan" walaupun tidak bekerja.
  6. Menjadi penjaga yang baik kepada anak-anaknya - Keperluan hidup menuntut si isteri juga mempunyai kerjaya seperti suami tetapi itu bukan alasan anda mengabaikan tanggungjawab dirumah. Si isteri tetap perlu menguruskan anak-anaknya dan si suami akan suka bila si isteri mampu mengurusnya.
  7. Menjadi pendengar yang setia - Perkara remeh temeh yang tidak penting bagi isteri kadangkala penting buat suami. Jadilah pendengar setia tentang apa yang dikatakan oleh suami bagi menjaga hatinya. Contohnya bila suami meluahkan tentang masalahnya, sibuk mana pun anda pada saat itu, ambil ruang untuk mendengar seketika dan ianya nyata berkesan untuk memuaskan hati suami.
  8. Isteri mengurut suami - Walaupun anda bukan pengurut yang baik tetapi jika suami memerlukannya cubalah jadi yang terbaik. Kelembutan isteri mengurut suami pastinya dirindui suami. Apatah lagi jika si suami sedang sakit kepala. Urutan sebegitu amat diperlukan bagi mengurangkan sakit kepalanya.
  9. Pandai bergurau - Jangan harapkan suami membuat jenaka sepanjang masa. Mereka bukan Salih Yaakob untuk berbuat begitu. Kadangkala anda juga perlu menjadi seperti pelawak untuk membuat suami ketawa.
  10. Taat perintah suami - Setinggi mana pun kedudukan anda di pejabat ianya bukan penyebab untuk anda berasa ego terhadap suami. Letakkan suami di kedudukan teratas dalam keluarga tentunya anda bahagia.
Banyak lagi perkara yang baik boleh dilakukan oleh isteri untuk suaminya. Usaha berterusan si isteri untuk membahagiakan si suami pasti akan dirindui suami bila berjauhan. Apabila itu berlaku, pastinya anda adalah calon terbaik untuknya.  Semoga rumahtangga anda lebih diberkati dan bahagia selamanya. Amin.

No comments:

Post a Comment