Thursday, February 7, 2013

Aku anak FELDA

http://bilalelakiberbicara.blogspot.com/2013/02/aku-anak-felda.html
Pilihanraya ke-13 semakin hampir. Cakap-cakap mengenainya juga semakin hangat diperkatakan. Kempen secara langsung dan tidak langsung juga rancak bergerak. Teka-teki siapa yang bakal memerintah negara juga semakin bermain di kotak pemikiran rakyat.

Siapa yang menang dan siapa yang kalah tidak menjadi persoalan. Bagi saya semuanya sama. Bila di atas lupa yang bawah, ingat bila pilihanraya nak tiba. Bila turun ke bawah, karpet perlu dihamparkan, amalan sanjung menyanjung berlebihan. 

Itulah hakikatnya. Carca merba, fitnah memfitnah, tuduh menuduh menjadi amalan. Pemimpin contoh dan teladan apalagi rakyat melihat. Cucuk sana cucuk sini, rakyat mula keliru, siapa intan dan siapa arang.

Dalam menanti parlimen di bubarkan, gerakan memutar belit dan mencuci minda generasi felda semakin giat dijalankan. Segenap pelusuk felda dijengah hanya untuk mewujudkan sifat prasangka dan persepsi berbeza. 

Apa gunanya? Biarlah mereka berfikir sendiri. Mana yang betul dan mana yang tidak betul. Masyarakat felda bukan buta, masyarakat felda bukan bodoh seperti di sangka. Masyarakat felda bukan petani kuno yang hanya tahu memegang sabit.

Situasi menghasut dan membawakan propaganda kerajaan dan pembangkang membuatkan keharmonian  felda dicemari demi kepentingan individu tertentu sahaja. Bagi sang tali barut asalkan poket penuh sanggup menggalas tugas mendatangkan huru hara di felda.

Aku anak felda. Tempat bermain dan membesar. Tenang dan mendamaikan. Namun demi mencari sesuap nasi aku merantau jauh. Namun hati tetap di felda. Kerana di situ ibu dan ayah memerah keringat. Demi menjadikan aku seperti sekarang.

Aku anak felda. Berfikir dalam cara aku tersendiri. Berpijak atas bumi yang nyata. Tiada felda terpinggirlah bangsa. Tiada felda terbuanglah aku, tiada felda entah aku di mana.

Felda Ulu Penggeli, Kluang Johor. Di situ aku bertapak, di situ aku membesar, di situ ada ayah dan ibu. Aku bangga menjadi anak felda. Aku bangga ada ayah peneroka. Aku tidak malu hidup di felda. Tetapi aku malu ANAK felda sendiri menjadi pembelot. 

No comments:

Post a Comment