Friday, March 15, 2013

Kerana mulut badan binasa

http://bilalelakiberbicara.blogspot.com/2013/03/kerana-mulut-badan-binasa.html
Kerana mulut badan binasa| Selama saya menceburkan diri dalam dunia blogger, berulang kali isteri memesan agar tidak membuat artikel berunsur fitnah, berbaur hasutan dan menghina orang lain. Sayangnya isteri kepada saya (puji sikit.. hehe) sehingga tidak mahu saya terjerat oleh tindakan sendiri. Kerana mulut badan binasa kan?

Peringatan itu saya pegang hingga saat ini dan saya berharap saya tidak lupa pesanannya itu. Dalam meluahkan perasaan tidak puas hati atau mengutarakan pandangan memang perlu ada batasan dan sempadannya.

Untuk mencapai tujuan dan maksud membetulkan apa yang salah, sensitiviti orang lain juga perlu diambil kira. Walaupun kadangkala rasa marah, benci atau dendam yang terpendam di hati memang tidak dapat disekat lagi, tetapi akibat yang perlu ditanggung juga harus disedari.

Begitulah yang terjadi kepada seorang guru akibat tersilap langkah dek kerana kepintarannya meluahkan perasaan di laman sosial.

http://bilalelakiberbicara.blogspot.com/2013/03/kerana-mulut-badan-binasa.htmlBerita penangkapan suspek menghina anggota keselamatan yang bertarung nyawa di Lahad Datu telah tersebar dan bakal disabitkan atas kesalahan Seksyen 41 Akta Hasutan 1948. Semua itu hanya kerana mulut. Kerana mulut badan binasa. Betul pepatah orang tua-tua dahulu.

Akibat yang perlu ditanggungnya memang cukup besar. Kerjaya, maruah hilang dalam sekelip mata. Apalah nasib isteri dan anak-anak jika bergantung hidup sepenuhnya kepadanya.

Negara ini ada undang-undang. Dan yang paling penting negara ini kaya dengan adab dan budi bahasanya. Jika seorang guru yang sepatutnya menjadi teladan anak didik menunjukkan contoh yang tidak sihat, generasi bagaimanakah yang akan dihasilkan oleh sekolah?

Pengajaran daripada kes guru ini wajar dijadikan panduan buat masyarakat di negara ini. Peluang membetulkan perkara yang salah sentiasa ada ruang dan pentasnya tersendiri. Jangan pula disebabkan fahaman tertentu, akal dan kewarasan diri hilang tanpa arah.

Medium laman sosial mempunyai impaknya terhadap keselamatan, perpaduan dan keharmonian sesebuah negara. Jika digunakan pada jalan yang salah, maka hancurlah keamanan yang telah dikecapi selama ini.

Semoga saya sentiasa mengingati apa yang dipesan oleh isteri selama berada dalam dunia blog ini "Kerana mulut badan binasa".

No comments:

Post a Comment