Thursday, March 21, 2013

Rajagopal sudah tidak tahan

http://bilalelakiberbicara.blogspot.com/2013/03/rajagopal-sudah-tidak-tahan.html
Rajagopal sudah tidak tahan| Setelah Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan yang terbaru Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi mangsa Artikel 88, kini Datuk K.Rajagopal pula bakal disiasat oleh FAM disebabkan meluahkan kekecewaannya terhadap jentera serangan Harimau Malaya.

Orang yang dipertanggungjawabkan menjalankan amanah dan tugas sebagai ketua jurulatih bola sepak negara kini sudah mula bersuara dan meluahkan rasa tidak senangnya dengan pendekatan FAM membenarkan sebegitu banyak pemain import dalam Liga Malaysia.

Apakah negara ini sudah tiada lagi barisan penyerang yang berkualiti seperti yang didakwa oleh Datuk K.Rajagopal? Mungkinkah juga dengan ulasan terbaru yang diberikan Datuk K.Rajagopal membuatkan perancangan dan strategi FAM akan berubah bagi musim hadapan?

Seperti yang kita ketahui, perancangan FAM terhadap bola sepak negara acapkali berubah-ubah. Sekejap ada dan sekejap tiada. Mengapa England, Sepanyol boleh berjaya dengan kehadiran sebegitu ramai pemain import?

Sama ada prestasi pasukan Harimau Malaya semakin menurun ataupun pasukan negara lain lebih meningkat sukar untuk diukur. Bola itu bulat. Yang ditendang juga bola, yang dikejar juga bola

Andaian sama ada Datuk K.Rajagopal sudah mula memberikan bayangan untuk melepaskan jawatannya mungkin terjawab selepas kelayakan Piala Asia 2015. Komen terbaru tentang perancangan FAM nampaknya jelas menggambarkan bahawa Datuk K.Rajagopal sudah tidak tahan dicemuh dan dikritik oleh banyak pihak.

Tekanan demi tekanan yang dihadapinya amat berat. Walaupun pernah membanggakan rakyat Malaysia sehingga mendapat gelaran Datuk, semua itu bagaikan hilang ditelan masa.

Daripada mutu pengadilan sehingga prestasi pasukan Harimau Malaya, FAM menghadapi cabaran getir bagi mengembalikan semula kegemilangan imej bola sepak negara.

Sekali lagi, Artikel 88 FAM bakal memainkan peranannya. Apakah FAM bakal menghukum seorang lagi tulang belakang bola sepak negara atau mengalah dengan kehendak jurulatih dan peminat bola sepak?

1 comment: