Rabu, Mac 13, 2013

Tips 2: 7 cara berbincang dengan suami

Cara berbincang dengan suami, isteriPada entri sebelum ini saya telah berkongsi Tips 1: 5 Cara berbincang dengan suami. Manakala pada kali ini saya akan berkongsi 7 lagi cara sebagai tambahan untuk isteri dan bakal menjadi isteri untuk panduan pada masa hadapan supaya perbincangan yang berlangsung dalam keadaan yang sangat baik. 

Komunikasi dua hala yang berkesan antara suami dan isteri penting untuk mewujudkan suasana muhibbah di dalam keluarga serta mampu mencapai satu kesepakatan dalam membuat keputusan.

Sesungguhnya kehidupan sebagai suami isteri banyak cabaran dan dugaannya. Ada masa bahagia, ada masa juga berduka, ada masa juga berada dalam situasi tegang. Untuk mengatasi pelbagai masalah dalam rumahtangga memerlukan kematangan dan pengetahuan dalam menghadapi semua masalah yang menimpa.

Isteri memerlukan pendekatan yang bijak ketika berdepan dengan suami ketika berbincang. Apatah lagi berdepan dengan suami yang panas baran, [Tips melembutkan hati suami panas baran] tentu sukar untuk mengajaknya berbincang. Cuba 7 tips dibawah tentang cara berbincang dengan suami.

Elak berbincang di hadapan anak. Mengelak berbincang di hadapan anak-anak terutamanya kes-kes sensitif dan boleh mengganggu emosi anak-anak anda. Kadangkala jika melibatkan perkara yang sensitif bagi suami, tentunya amat sukar baginya menurut kehendak anda. 

Jangan bincang perkara sensitif. Anda telah mengenali suami anda sejak anda bercinta dan sehingga sekarang. Pastinya anda mengetahui banyak perkara yang kurang disenangi oleh suami. Elakkan perkara-perkara sebegini diawal perbincangan bagi mengelakkan anda memotong minatnya berbincang dengan anda. 

Minta pendapat dan bukan soalan. Mulakan dengan meminta pendapatnya lebih baik jika dibandingkan perbincangan berbentuk soalan-soalan. Jika anda ingin bertanya soalan-soalan "cepu emas", pastikan anda tahu bila waktu yang sesuai. Jangan sertakan emosi anda pada pertanyaan anda kerana wanita sangat beremosi dalam menyampaikan rasa tidak puas hatinya. 

Jadi pendebat yang beretika. Pendebat yang beretika bermaksud ketika suami sedang berkata jangan menyampuk percakapannya kerana ianya menjadikan anda bukan pendengar yang setia kepadanya. Tunjukkan rasa hormat kepada suami anda. 

Pujian itu indah. Paling mudah, mulakan perbincangan anda dengan sedikit pujian kepadanya. Contoh? "Abang saya rasa bahagia sangat dengan abang, tapi boleh tak saya nak cakap sikit?". Kan sedap suami mendengarnya. Jangan pula pujian terlalu melambung kerana suami akan fikir ianya sebagai satu sindiran. 

Jangan membebel baru bertanya [11 sebab wanita kuat membebel]. Yang ini selalu sangat berlaku. Dah puas membebel baru nak tanya pendapatnya. Cara ini tidak berapa berkesan bagi sesi perbincangan suami isteri. Walaupun anda memang seorang yang kuat membebel, belajarlah mengubahnya kerana suami akan lebih hormat dan sayang pada anda. 

Berbincang secara berdepan. Pendapat "Berbincang secara berdepan" diberikan oleh seorang rakan blogger iaitu Faizol Dee diruangan komen."Bincang ngn suami klu bley brdepan.. jgn guna sms.. nnti mula la start nk brgaduh.. haha". Saya memang setuju dengan pendapat beliau. Telefon, sms tiada intonasi kan?

Anda mungkin tidak bersetuju dengan apa yang saya kongsikan atau anda mungkin anda cara yang lebih baik daripada apa yang saya telah warkahkan. Anda boleh berkongsi di ruang ulasan untuk berkongsi dengan pembaca blog ini.

Bagi isteri dan bakal isteri, sesungguhnya jika anda seorang yang dapat menggembirakan suami, anda adalah seorang bidadari dunia dan akhirat. InsyaAllah seorang isteri yang bersabar dan berusaha membahagiakan rumahtangganya, pasti ada balasan baik yang telah dijanjikan Allah SWT.