Jumaat, Oktober 14, 2016

10 perkara penting selepas berkahwin

Penting selepas berkahwinPerkahwinan adalah elemen penting dalam kitaran hidup setiap seorang manusia. Semua orang ingin memiliki pasangan hidup seperti orang lain. Pasangan yang mampu berkongsi suka duka, cerita, sakit dan sebagainya adalah mimpi indah yang selalu diidamkan. Namun, jalan-jalan kehidupan selepas perkahwinan sebenarnya berliku dan beranjau. Jika kukuh sebuah bahtera, maka belayarlah ia dengan baik.

Seseorang yang telah menjalani kehidupan berumahtangga lebih lama, lebih berpengalaman berbanding mereka yang baru sahaja mendirikan rumahtangga. Onak dan duri yang dihadapi setiap pasangan berkeluarga tentunya berbeza sesuai dengan ujian yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Namun secara asasnya, banyak perkara yang perlu diambil kira setiap pasangan jika sudah melangkah ke alam perkahwinan.

10 perkara penting selepas berkahwin boleh dijadikan panduan kepada pasangan yang baru berkahwin malahan untuk peringatan kepada diri saya sendiri supaya terus memperbaiki diri daripada sebarang kekhilafan.

Siapa tanggungjawab anda? - Bermulanya secara sah sesebuah perkahwinan maka bermulalah tanggungjawab suami dan isteri. Perihal tanggungjawab suami kepada isteri dan juga isteri kepada suami. Namun jangan lupa beban tanggungjawab sebenarnya semakin bertambah apabila melibatkan ibu bapa, ibu bapa mertua, adik beradik, adik beradik ipar, anak saudara juga melibatkan saudara kedua-dua belah pihak. Ibarat air dicincang tidak akan putus, suka atau tidak, anda tidak boleh mengabaikan beban tanggungjawab kepada pasangan bersendirian terhadap keluarganya malahan kini anda berkongsi memikulnya. Namun keutamaan pertama tanggungjawab anda adalah kepada pasangan anda. 

Keadilan dalam membuat keputusan - Ibarat picit peha kanan, peha kiri akan terasa. Setiap keputusan yang hendak dibuat perlu memikirkan kesan baik dan buruknya terhadap anda dan pasangan. Maruah isteri, maruah keluarga adalah penting untuk dijaga. Keputusan yang dibuat perlu adil kepada isteri dan isteri juga perlu adil kepada suami. Sebagai contoh walaupun isteri adalah anak tunggal, tidak menjadi asas keputusan setiap kali perayaan, si suami perlu patuh kehendaknya kecuali si suami telah membuat pengorbanan dalam keputusannya. 

Perancangan kewangan - Dahulu makan satu pinggan, kini makan sudah dua pinggan. Itulah perumpamaannya. Tidak selamanya kita dalam keadaan senang, kadangkala diuji dengan kesusahan mahupun kesakitan. Maka beringatlah semasa senang dan buat perancangan kewangan keluarga agar mampu menghadapi perkara-perkara yang tidak diduga. Jangan pula masa senang bersama, masa senang lari laju-laju. 

Had batasan pergaulan - Kadangkala anda terpaksa bersikap sombong demi menjaga rumahtangga anda. Dahulu boleh bergurau, kini pantang diusik. Hal ini adalah biasa bagi mereka yang telah berumahtangga. Sebabnya dahulu kita belum dimiliki, tapi kini hak milik orang. Sudah tentulah setiap pergaulan ada batasnya demi menjaga hati suami atau isteri. 

Hubungan berjiran - Duduk rumah bujang, bolehlah tutup pintu rapat-rapat bila masuk rumah. Jika sudah berkahwin dan memiliki rumah sendiri atau rumah sewa sekalipun, jangan sombong dengan jiran. Tidak perlu terlalu mesra yang merimaskan jiran tapi berbuat baiklah dengan jiran. Mana tahu mereka boleh tengok-tengokkan rumah bila anda tiada dirumah. Kuatnya lidi kerana seikat, jika anda sebatang lidi, mudah sangat untuk mematahkannya. 

Pengetahuan asas penjagaan anak - Bila sudah ada anak, belajarlah sedikit ilmu untuk menjaga anak bersama, jangan diharapkan sebelah pihak sahaja menguruskan anak. Berkahwin bersama, makan bersama, bila bab jaga anak, mengapa dibiarkan isteri sendiri menguruskan. Tiada alasan tidak tahu kerana zaman sekarang maklumat terlalu mudah dicapai. Pengetahuan asas yang perlu diambil perhatian terutamanya bab perubatan dan kesihatan anak. Jangan sambil lewa dengan kesihatan anak-anak anda. [Tips apabila anak demam panas]

Masa - Pembahagian masa untuk keluarga dan kawan-kawan, ataupun aktiviti sendiri, hobi perlu diselaraskan semula agar kedua-dua pasangan mencapai kepuasan dalam pembahagian masa. Jangan pentingkan diri sendiri dan kawan-kawan tetapi pasangan anda dirumah terabai. Kawan datang dan pergi tetapi pasangan sehidup semati. Jadi luangkan masa yang ada lebih banyak bersama keluarga berbanding perkara-perkara lain yang tidak sepatutnya. 

Tiada istilah salah pilih pasangan - Setiap perkahwinan yang terbina adalah berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak melainkan perkahwinan yang diatur oleh keluarga. Anda yang memilih pasangan anda jadi tiada istilah salah memilih pasangan. Jodoh telah ditetapkan dan Allah SWT membenarkannya. Jadi apa yang kurang pada pasangan, maka lengkapkanlah. Semasa bercinta semuanya indah, bila dah hidup bersama, jika ada kelakuan buruk pasangan anda jangan pula meninggalkannya. Kerana anda yang memilih dia untuk jadi pasangan anda.
 
Penjagaan hati - Setiap pasangan mempunyai harapannya sendiri terhadap pasangannya. Ada perkara yang disukainya dan ada perkara yang tidak disukainya. Penjagaan hati juga bukan sahaja melibatkan pasangan anda, tetapi orang-orang yang rapat disekelilingnya. Ibu bapanya, adik beradiknya dan kawan-kawannya. Setiap tindakan kita akan sentiasa diperhatikan oleh orang lain. Mereka akan menilai kita, jadi berhati-hatilah semasa membuat keputusan agar tidak mengguriskan hati pasangan dan orang lain dalam keluarganya agar mereka tidak menjauhi kita. 

Warna rumahtangga - Alam rumahtangga ibarat kain putih yang baru dibentangkan dihadapan anda, maka coraklah ia dengan warna yang anda suka. Jika warna hitam yang anda pilih maka hitamlah rumahtangga anda. Jadi setiap pasangan perlu belajar ilmu rumahtangga kerana ilmu dan pengalaman adalah sangat berbeza. Jika ditegur oleh orang lebih dewasa dan lama dalam perkahwinan terima sahajalah nasihat mereka, jangan angkuh dengan kelayakan akademik yang anda miliki.

Walau apapun yang berlaku, andalah nakhodanya. Anda yang akan mengemudi bahtera anda sampai ke penghujungnya. Bukalah mata untuk belajar daripada kesilapan orang lain untuk dijadikan pengajaran supaya anda tidak melakukan hal yang sama. Ianya bukan sebab anda lebih bijak daripada orang lain, tetapi tentang bagaimana pengalaman mengatasi semua halangan dalam sebuah perkahwinan.

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum sahabat,
    Terima kasih kerana masih mengingati. Alhamdulillah...Blog ini sudah mula update! :)
    Utk makluman blog Relaks Minda sudah bebas dari malware dan selamat. Blog RelexMinda tu kini dah xberoperasi.
    Blog Relaks Minda kini sudah upgrade kepada www.relaksminda.com Mohon sahabat tukar pautan sahabat kepada blog www.relaksminda.com atau ke www.dammahumnib.com
    Kedua-dua blog ini aktif tapi kini saya lebih beri tumpuan kepada www.dammahumnib.com

    Semoga tuan success dan terus berblogging ya!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam BM, Terima kasih untuk makluman... InsyaAllah niat untuk berblogging tetap akan diteruskan seperti biasa disamping menunaikan tanggungjawab kerja hakiki...

      Padam
  2. "Tiada istilah salah pilih pasangan" - suka ayat ini.. Kalau kita tak berusaha untuk saling melengkapi dan menerima kekurangan, pastilah rumahtangga tu akan hancur.. Kesungguhan kita dalam mempertahankan hubungan suami isteri tu pentingkan encik azlan..
    Suka perkongsian sebegini..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sis, memang kalau tak berusaha, tidak akan mendapat hasil... ujian dan dugaan tetap ada dalam rumahtangga...

      Padam