Ahad, Disember 11, 2016

Strategi membuka perniagaan tepi jalan

Berniaga tepi jalan, prosedur perniagaan, tips perniagaanPerniagaan adalah salah satu cabang peluang menambahkan pendapatan selain daripada bekerja makan gaji. Peluang perniagaan yang begitu luas telah disediakan oleh kerajaan membuka begitu banyak peluang pekerjaan tanpa terikat dengan mana-mana majikan.

Bekerja sendiri mempunyai kelebihan dalam beberapa aspek. Mempunyai masa bekerja sendiri, tidak mengikut perintah orang atasan serta mampu menjadikan seseorang itu berdikari tanpa mengharapkan bantuan pihak lain.

Berniaga di tepi jalan adalah salah satu pilihan peniaga kerana mampu menjalankan perniagaan dengan modal yang sangat rendah. Sebelum melakukan apa-apa jenis perniagaan, pastikan peniaga mendapatkan lesen perniagaan terlebih dahulu supaya tidak mengundang masalah berkaitan semasa menjalankan proses perniagaan.

Terdapat beberapa kesilapan strategi perniagaan yang dilakukan oleh kebanyakkan peniaga yang baru memulakan perniagaan kecil-kecilan di tepi jalan. Bagaimana cara untuk menarik perhatian pelanggan memberhentikan kenderaan supaya datang membeli di gerai anda? [Tips peniaga menarik minat pelanggan]. Adakah dengan cara mengangkat tangan kepada mereka? Mestilah tidak. Jadi apakah cara terbaik untuk pelanggan membeli produk anda?

Melakukan penjenamaan atau Branding. Ramai peniaga berniaga di tepi jalan hanya meletakkan khemah atau meja sebagai peralatan berniaga. Sekiranya anda menjual produk perniagaan yang mempunyai kemampuan aroma yang tinggi seperti bau durian, anda tidak memerlukan jenama. Hal ini disebabkan buah durian itu sendiri mampu membuatkan pelanggan tahu tentang perniagaan anda. Sekiranya anda menjual lauk pauk, kuih muih yang berada di dalam bekas plastik, agak sukar untuk pelanggan mengetahui apa produk perniagaan anda. Lakukan branding kepada perniagaan anda seperti meletakkan banner yang besar tentang apa yang anda jual. Contoh terbaik adalah Nasi Lemak Anak Dara. Jangan letak nama perniagaan anda dengan tulisan yang kecil kerana tidak semua pelanggan mahu berhenti dan bertanya apa yang anda jual.

Meletakkan harga yang jelas kepada produk anda. Apabila anda telah meletakkan harga yang sangat jelas kepada produk, ianya telah membantu pelanggan menjimatkan banyak masa berfikir untuk membeli produk anda. Dalam pada masa yang sama, ianya mampu membantu mengurang terlalu banyak sesi soal jawab bersama pelanggan. Lebih-lebih lagi sekiranya anda tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi semasa menjalankan perniagaan, ianya sangat memudahkan anda untuk fokus dalam pembungkusan dan penerimaan bayaran sahaja.

Selain daripada melayan pelanggan dengan senyuman, memberikan reaksi dengan segera serta membalas pertanyaan pelanggan dengan baik mampu membantu meningkatkan hubungan sosial kepada perniagaan anda. Apabila pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan anda ianya mampu meningkatkan kebarangkalian mereka kembali untuk membeli produk anda buat kali kedua.

Jika beberapa perkara di atas telah dilakukan, ianya membantu mempercepatkan proses pengembangan perniagaan apalagi pada masa ini, kuasa viral [Tular] sesuatu perkara sangat pantas tersebar kepada orang awam. Gunakan media sosial untuk memberitahu tentang perniagaan atau pelanggan memberitahu orang lain tentang produk perniagaan anda. Perkara penting yang perlu dilakukan oleh anda adalah tingkatkan kualiti dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan kepada pelanggan.