Khamis, Februari 28, 2013

Makan sedap makan sihat

Himpunan makanan dengan rupa, rasa dan warna berbeza memperlihatkan keunikan Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Setiap kaum menyumbang kepada variasi makanan yang terdapat di Malaysia. 

Berbekalkan makanan tradisi kaum masing-masing yang diwarisi turun temurun menjadikan industri makanan di negara ini sentiasa mempunyai ruang untuk menambah pendapatan apabila diminati oleh kaum lain.

Oleh kerana wujudkan kepelbagaian makanan di negara ini, masyarakat juga mempunyai pilihan untuk memilih makanan yang mereka sukai dan ingin menjamahnya. 

Tajuk entri "Makan sedap makan sihat" mempunyai definisi sama ada mereka memilih untuk makan makanan yang sedap atau makan makanan yang menyihatkan.

Apa itu makan sedap makan sihat? Banyaknya makanan tidak semestinya menyihatkan. Selera memang menyelerakan tetapi akhirnya banyak pula penyakit yang datang. Aspek pengetahuan tentang diet pemakanan sihat telah dilancarkan oleh KKM tetapi nampaknya belum menampakkan kejayaan yang membanggakan.

Serangan jantung, darah tinggi, kencing manis, kolesterol, obesiti adalah penyumbang kepada kematian yang tinggi di Malaysia selain kemalangan jalanraya yang berlaku setiap hari. Apakah faktor masyarakat memilih makanan yang sedap tetapi tidak menyihatkan seperti makanan ringan, makanan segera (Fast Food)?
  1. Kemampuan - Masyarakat berkemampuan membelinya walaupun harganya mahal. Masyarakat juga tidak seperti masyarakat zaman dahulu yang mengalas perut dengan ubi kayu dan ikan masin. Kemampuan membeli ini juga menjadikan makanan yang tidak menyihatkan berkembang saban tahun dengan banyaknya pembukaan francais di setiap negara.
  2. Keinginan - Memang tidak dapat dinafikan lagi iklan yang menghiasi di kaca televisyen amat menggiurkan. Meleleh air liur bila paparan makanan yang tidak sihat ini ditayangkan. Apalagi mulalah mengidam. Dan dan tu juga mengidam.
  3. Kekangan masa - Tak makan tak boleh hidup. Nak masak tak sempat. Rehat pula satu jam sahaja. Nak berbaris di kedai makan memang malas, nak berbaris di kedai mamak tempat duduk pula penuh. Fast food menjadi pilihan. Maka terpaksa makan.
  4. Trend - "Sayang, awak nak bawa saya makan di mana? *** nak tak? Ada kupon free ni.". Bila membuat temujanji di tempat berhawa dingin seperti inilah yang menjadi pilihan. Romantik lah katakan. Kebiasaan ini jika diamalkan menjadikan hidup terlalu bergantung kepada makanan yang tidak sihat, akhirnya mempercepatkan kemungkinan menghidapi penyakit yang berbahaya.
  5. Sesekali terpaksa menjadi budaya - Ibu bapa terpaksa menuruti kehendak anak-anak yang menginginkan apa yang dilihatnya. Reka bentuk pembungkusan yang menarik membutakan mata anak-anak kecil tentang apa yang dimakannya. Dilema inilah yang dialami oleh ibu bapa sehingga mendidik anaknya makan makanan yang tidak sihat pada usia yang muda. Carilah makanan yang sihat untuk anak-anak.
  6. Kurang berdisiplin - Diet pemakanan yang sihat memerlukan disiplin yang tinggi untuk dipatuhi. Walaupun boleh divariasikan dengan aneka pilihan makanan, tetapi kadangkala sukar diamalkan oleh kebanyakan masyarakat di negara ini. Segelintir sahaja yang mempunyai diet pemakanan yang sihat.
  7. Pengaruh iklan - Iklan yang menarik serta promosi yang ditawarkan menjadikan pendapatan kepada syarikat pengiklanan dan membantu melariskan produk yang diiklankan. Sedikit sebanyak berjaya membuatkan orang mendapatkannya untuk mencubanya.
  8. Kurang pengetahuan - Masyarakat di negara ini boleh dikatakan sudah mencapai tahap pengetahuan yang baik tetapi bagi aspek pemakanan yang sihat masih perlu diperbaiki. Hebahan pengetahuan, polisi kerajaan serta program berterusan oleh kementerian bertanggungjawab perlu diteruskan. 
http://bilalelakiberbicara.blogspot.com/2013/02/makan-sedap-makan-sihat.html

Kesedaran yang tinggi amat diperlukan bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit kelas A. Masyarakat sepatutnya tidak memandang enteng tentang perkara ini kerana pilihan sentiasa ada di negara ini. Kepelbagaian makanan di negara ini menawarkan pilihan kepada kita untuk makan sedap kekal sihat daripada makan sedap banyak penyakit.