Khamis, November 10, 2016

Penilaian Tahap Kecemerlangan Anak

Mengukur tahap cemerlang, anak cemerlangBaru - baru ini, saya berkesempatan hadir untuk memenuhi jemputan Majlis Konvokesyen Tadika tempat di mana anak saya belajar. Majlis yang berlangsung sangat meriah, padat dengan senyum tawa anak-anak kecil, menandakan kegembiraan mereka tatkala menggenggam segulung skrol tanda simbolik tamat sudah seisi pembelajaran peringkat awalan pembelajaran mengikut sistem pendidikan di negara ini.

Waima tiada peperiksaan yang khusus seperti UPSR atau SPM untuk menilai tahap kecemerlangan anak ketika di peringkat awalan pembelajaran, terdapat beberapa kriteria yang telah digunakan oleh sistem dan guru untuk memberi penilaian bagi membezakan penerima anugerah pelajar cemerlang dan kurang cemerlang.

Berbalik kepada majlis konvokesyen tadi, telah disebutkan oleh Pengarah Negeri (Perasmi) bahawa objektif utama pendidikan peringkat awalan adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya anak-anak mampu menguasai konsep 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul. Menaakul bererti membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik (Kamus Pelajar Edisi Kedua).

Persoalannya, adakah ibu bapa memahami dan menyedari sebenarnya justifikasi untuk menilai tahap kecemerlangan anak-anak bukan hanya bergantung kepada konsep 4M, UPSR, PT3 dan SPM semata-mata? Hal ini kerana terdapat ibu bapa yang sanggup menghantar anak-anak sekecil 3-6 Tahun ke kelas tambahan demi mengejar kecemerlangan pendidikan dalam pendidikan awal.

Mengukur tahap cemerlang, anak cemerlangPeranan ibu bapa di rumah untuk mendidik anak di peringkat awalan adalah sangat penting. Tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab mendidik sepenuhnya kepada guru di sekolah atau pusat tuisyen semata-mata. Di peringkat awalan usia kanak-kanak adalah masa bermain bagi kanak-kanak. Usah menganggap anak tidak cemerlang akan terus gagal selamanya. Mengikut pengalaman saya, mereka yang tidak cemerlang sewaktu di sekolah, ada di antara mereka lebih berjaya dalam hidup dan lebih stabil. Ada juga memiliki tahap pendidikan tinggi masih juga menganggur tanpa pekerjaan. 

Apa yang penting adalah anak-anak diajar bagaimana untuk "survival" dalam hidupnya. Mempunyai kemahiran hidup yang tinggi. Contohnya jika tidak mampu memiliki pekerjaan dengan menggunakan segulung ijazah, tapi mampu menjana pendapatan tinggi melalui kemahiran menjahit pakaian.

Mengukur tahap cemerlang, anak cemerlangKecemerlangan anak-anak telah dinilai baik oleh guru semasa di sekolah. Sama ada kita dapat menerima penilaian itu dengan hati terbuka ataupun tidak sahaja. Bagaimana pula masyarakat menilai anak-anak kita? Tentunya melalui adab, tatasusila, perilaku dan sebagainya. Jika anak tidak cemerlang dalam pelajaran tetapi baik budi pekerti, sopan dan sangat menghormati orang lain, ianya adalah cemerlang bagi saya. Kerana ibu bapa telah berjaya mendidik anaknya sehingga mempunyai nilai tambah untuk "survival" dalam hidupnya. Terbaca juga kebanyakkan guru-guru di sekolah sudah mengeluh dengan adab seorang anak murid kepada gurunya. Jadi dimana peranan ibu bapa dalam mendidik adab anak-anak?

Tiada guru di dunia yang ingin melihat anak muridnya gagal

Mengukur tahap cemerlang, anak cemerlangPerkara bermain bagi anak-anak kini hampir memerlukan kos dan terbatas. Anak-anak tidak dapat bebas keluar bermain seperti waktu lampau kerana peningkatan beberapa kes seperti penculikan atau rogol sebagai contohnya. Dahulu anak-anak dapat bermain dengan rakan sebaya tanpa kawalan secara percuma bagi meningkatkan daya kreativiti dan hubungan sosial, mandi sungai bagi membina otot dan berkemahiran berenang, tetapi kini semua aktiviti sudah terkawal di dalam rumah. Ibu bapa tidak rela melepaskan anak-anak bermain bersendirian di luar rumah tanpa kawalan ibu bapa. Alternatifnya, anak- anak diberi gadget yang tentu sekali mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap perkembangan kanak-kanak.

Salah satu pilihan lain yang boleh ibu bapa cuba untuk membantu perkembangan anak-anak adalah dengan memberikan "educational toys" supaya membantu perkembangan anak-anak di rumah. Manakala untuk membentuk sahsiah diri pula, tidak peralatan yang dapat mampu membantu kecuali komunikasi ibu bapa dan anak. Nasihat dan ajarilah mereka sekurang-kurangnya belajar menghormati orang yang lebih tua. Satu perkara yang sudah hilang dari jati diri anak-anak muda zaman sekarang.

Mendidik anak-anak untuk cemerlang memerlukan kerjasama semua pihak. Ibu bapa dan guru, masyarakat serta penggubal dasar. Persefahaman diantara semua pihak juga penting serta konsistensi dalam membuat dasar juga sangat penting. Kanak-kanak bukan bahan kajian untuk melihat hasil untuk masa hadapan, tetapi mereka adalah sumber kekuatan peneraju masa hadapan yang lebih cemerlang. Wallahu a’lam bish-shawabi.