Sabtu, Jun 11, 2022

Aidilfitri selepas 4 tahun tidak pulang kampung

Aidilfitri selepas 4 tahun tidak pulang kampung| Entri ini telah terperam lama dalam draf entri. Sepatutnya entri ini diterbitkan sejurus selepas saya bercuti Hari Raya Aidilfitri. Namun, macam biasa, kekangan saya aktif dalam bidang penulisan blog berterusan hingga kini. Sadisnya blog ini. Walau bagaimanapun, hari ini saya berjaya juga menerbitkan entri ini sebagai kenangan perjalanan dari Sarawak ke kampung halaman (Johor) selepas pasca Covid-19. Semoga bermanfaat dan selamat membaca.


Kali terakhir saya menjejakkan kaki ke kampung halaman adalah pada tahun 2018. Kemudian, pada tahun 2019, penerbangan ke kampung terpaksa ditangguhkan kerana sekatan perjalanan apabila Covid-19 melanda dunia ini. Namun pada tahun ini (2022),  peluang menjenguk ibu bapa tidak sesekali saya lepaskan. Rindu yang tiada penghujung kepada mereka. Pulang ke kampung setelah 4 tahun tidak menyambut aidilfitri bersama ibu bapa. Nikmat yang sangat besar dalam hidup saya. Alhamdulillah saya masih diberikan rezeki ibu bapa yang masih hidup dan sihat walafiat.

Rezeki telah ditakdirkan kepada setiap hamba Nya. Oleh itu, saya redha dengan rezeki saya, bermastautin jauh di Sarawak sejak tahun 2014. InsyaAllah jika diberikan kesihatan yang baik, maka berkhidmat dengan kerajaan sehingga 60 tahun. Mudah-mudahan. Amin. Saya juga bersyukur kerana usia blog ini sudah menghampiri usia 13 tahun. Walaupun, kadang kala ianya suram daripada entri kerana kekangan masa, dapat juga saya kemaskini dengan beberapa entri terbaru supaya kelihatan masih bertuan.


Berbalik kepada cerita asal Aidilfitri selepas 4 tahun tidak pulang kampung, entri ini disiapkan sebelum kepulangan saya ke kampung. Perjalanan ini telah dirahsiakan bersama adik beradik yang lain daripada pengetahuan ibu dan bapa saya. Perasaan seronok dan mengujakan bagi anak-anak saya untuk bertemu atuk dan neneknya tidak dapat dibendung lagi. Macam-macam aktiviti mereka ingin buat bila sudah tiba di kampung nanti.

Aktiviti Marhaban di Negeri Johor

Saya juga tidak ketinggalan untung merancang beberapa aktiviti keutamaan yang akan saya lakukan setelah menjejakkan kaki ke Negeri Johor. Antaranya hadir menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia 2022 antara pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PJ City FC pada 06 Mei 2022 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Saya menyasarkan sekurang-kurangnya sekali hadir ke stadium ikonik kebanggaan rakyat Johor ini. Mudah-mudahan tercapai hendakNya. (*Perlawanan tersebut ditangguhkan oleh Malaysia Football League)
Stadium Sultan Ibrahim (SSI)

Selain itu juga, tentunya saya ingin melawat ladang sawit milik ayah saya yang menjadi punca rezeki kepada keluarga kami sehingga kini. Felda adalah tempat saya membesar dan tentunya saya berbangga dengan langkah ayah saya untuk menyertai Felda semasa usia saya 7 tahun. Pada tahun 1990 itu, apa yang saya ingat, rumah diberi adalah rumah kayu asal orang Felda.
Rumah felda kini

Lilin, lampu minyak tanah, pam air, mandi air parit, semua itu sudah saya rasai sejak kecil. Oleh itu, saya tidak kisah jika terpaksa tidur di kawasan sebegitu rupa. Saya berasa sangat seronok dengan pengalaman masa lalu. Kini, anak-anak saya tidak dapat merasai apa yang pernah saya lalui kerana cabaran dunia masa kini sangat berlainan. Jika kita membiarkan anak-anak berkeliaran di luar rumah tanpa pemantauan, perkara mudarat lain mungkin boleh berlaku.

Saya merancang tapi Allah SWT juga mengizinkan ianya berlaku atau tidak. Banyak tempat yang ingin saya pergi tidak kesampaian memandangkan berada dirumah lebih bahagia berbanding bersesak di jalan raya. Memandangkan pada tahun ini adalah raya selepas pasca Covid-19, berbondong-bondong orang ramai tidak melepaskan peluang ziarah menziarahi. Trafik jalan raya sangat sesak. Maka banyak masa cuti saya dihabiskan bersama keluarga dirumah dan satu dua rumah saudara sahaja.

Link>> Video kejutan kepada ibu bapa setelah 4 tahun tidak berjumpa
Video link: (A surprise video to the parents after 4 years of not seeing each other)


Perkongsian ini juga akan sentiasa menjadi ingatan yang indah buat saya. Hal ini kerana lokasi permastautin saya menyukarkan saya untuk kerap pulang ke kampung. Oleh sebab itu, peluang untuk pulang berhari raya Aidilfitri pada tahun ini, tidak mungkin saya sia-siakan. Apatah lagi setelah 4 tahun berjauhan dengan ibu bapa. Rindunya tentu tidak tertangung lagi. Saya ingin mencipta seberapa banyak kenangan indah yang boleh saya abadikan. Wallahualam.