Ahad, Disember 18, 2016

OneSilat pertandingan silat antarabangsa

Pertandingan Silat, OneSilat, Silat melayu, seni bela diriSeni mempertahankan diri sudah banyak berkembang. Ianya bukan sahaja satu jenis kemahiran untuk mempertahankan diri tetapi lebih daripada itu. Program Mixed martial arts (MMA) adalah satu jenis pertandingan yang menggabungkan pelbagai jenis ilmu mempertahankan diri dan kini ianya semakin popular di kalangan penggiat seni pertahanan bela diri. 

Terbaru OneSilat muncul sebagai satu program pertandingan antarabangsa dalam mempertabatkan seni mempertahankan diri silat yang sememangnya terkenal di kebanyakkan negara Asia. Apa itu OneSilat? Bagi saya OneSilat juga lebih kurang juga dengan program MMA. Bezanya peserta MMA boleh menggayakan pelbagai jenis ilmu mempertahankan diri dan berlawan. OneSilat, tentunya hanya ilmu persilatan sahaja yang dibenarkan.

Program OneSilat menggabungkan seni mempertahankan diri gaya serangan tangan, tendangan, manipulasi bersama, melemparkan serta penggunaan senjata tradisional. Menurut laman sesawang OneSilat.com terdapat kira-kira 8000 jenis gaya persilatan yang ada di seluruh dunia. Saya rasa macam tidak percaya tetapi itulah realiti. Seni silat telah banyak diperkembangkan ke serata dunia. Apa yang saya tahu cuma Silat Gayong dan silat di pertandingan sukan sahaja.

Berbalik kepada OneSilat, perbezaan jenis pertandingan seni mempertahankan diri OneSilat dengan pertandingan silat yang ada sekarang adalah format OneSilat menggunakan sepenuhnya format pertandingan full-contact. Tentunya pertandingan ini memerlukan peserta mempunyai ketahanan fizikal yang kuat, mental yang kukuh dan memiliki critical thinking yang baik dalam membuat keputusan. Saya cadangkan kepada sesiapa yang suka berlawan, boleh mendaftarkan diri di pertandingan OneSilat ini. Baru lah anak jantan!

Format pertandingan bagi OneSilat adalah peserta perlu berlawan sebanyak 3 pusingan. Setiap satu pusingan selama 3 minit dan 1 minit rehat. Manakala bagi perebutan Title pula memerlukan setiap peserta berlawan sebanyak 3 pusingan. Setiap satu pusingan selama 5 minit dan 1 minit rehat. Bagi perebutan Title Kejohanan Dunia pula memerlukan peserta berlawan dalam 5 pusingan, setiap pusingan selama 5 minit dan 1 minit rehat. Apa yang menariknya, sebelum perlawanan dimulakan, peserta perlu membuka gelanggang dengan 8 gaya gerakan pencak silat mereka sendiri.

Peserta akan dikelaskan mengikut berat masing-masing. Ianya adalah standard bagi mana-mana pertandingan sama ada boxing, silat sukan atau sebaginya. Bagi sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam pertandingan ini boleh lah mengikut senarai kelas kategori seperti yang ada dalam gambar di bawah.
Pertandingan Silat, OneSilat, Silat melayu, seni bela diri

Pakaian peserta dalam Program pertandingan OneSilat ini tidak boleh sesuka hati peserta sahaja kerana telah dinyatakan dalam peraturan pertandingan. Peserta perlu memakai pakaian yang disediakan oleh pihak penganjur. Jadi semua nampak seragam dan sopan. Seluar pendek atau seluar tinju adalah dilarang sama sekali. Bagi peminat seni silat yang mahu membawa keluarga bersama menonton pertandingan ini memang sangat sangat sesuai. Cuma ada ganas sikit lah sebab pertandingan melibatkan aktiviti fizikal. Peraturan pertandingan bagi OneSilat ini boleh anda baca di [Peraturan One Silat]

Malaysia akan menjadi hos bagi Kejohanan OneSilat Dunia yang akan melibatkan pesilat-pesilat terbaik dunia dari 57 buah negara. Sebanyak 10 pasang peserta dijadualkan bertanding pada peringkat separuh akhir bagi tahun 2016 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Ianya akan berlangsung pada 23 Dis 2016 ini. Ayuh ramai-ramai peminat silat di seluruh negara, berikan sokongan kepada pesilat tempatan yang bakal berentap di pertandingan OneSilat ini.

2 ulasan:

  1. oooh macam tu rupanya. sebelum ni pernah jgk masuk silat gayong tapi xpernah pergi latihan huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Daftar je ye, samalah kita. Dulu kat sekolah ada juga daftar masuk. Lepas 1 hari training dah sakit2 badan... Minggu depannya terus tak datang...Hehe

      Padam